Hari Isnin yang lalu saya telah diberikan amanah untuk menyampaikan taklimat berhubung bidang tugas saya sekarang kepada kakitangan sebuah jabatan yang datang dari seluruh pelosok negara. Aduhai begitu risau hati saya memikirkan tentang tugasan sebegini kerana saya bukanlah sorang yang berkebolehan untuk bercakap di khalayak. Apabila berhadapan dengan situasi begini, perut saya akan mula meragam, seakan ada makhluk asing di dalamnya. Peluh dingin akan membasahi tapak tangan saya. Semuanya seakan serba tidak kena.
Makluman berhubung tugas ini diterima dalam tempoh yang singkat. Tidak banyak persediaan yang dapat saya buat. Yang pasti, kebanyakan maklumat yang saya sampaikan dan kongsikan bersama adalah berdasarkan pengalaman. Alhamdulillah sesi tersebut berjalan dengan lancar. Begitu banyak persoalan yang dilontarkan untuk dibincangkan sehinggakan mulut saya melecet akibat begitu banyak bercakap. Dan ketika sesi tersebut berlangsung, saya langsung tidak merasakan sebarang debaran. Sungguh aneh. Tutur kata saya begitu lancar.
Ah mungkin inilah kelebihan diri saya yang sebelum ini begitu dikagumi oleh teman-teman. Saya bukanlah seorang guru apatah lagi pemidato yang hebat. Saya tidak pandai menuturkan bait-bait kata yang indah untuk didengari oleh khalayak namun saya begitu gemar kepada sesi perbincangan dan perkongsian ilmu. Malahan saya begitu gemar sekali berkongsi akan sebarang ilmu yang saya ada walaupun saya tahu ilmu itu kadang-kala kedengaran begitu remeh sekali. Seandainya saya dapat menyampaikan barang sedikit ilmu yang ada di dada, walau seremeh mana sekalipun, saya merasa begitu puas sekali. Namun saya pasti saya boleh lakukan dengan lebih baik lagi sekiranya mempunyai persediaan yang cukup dan rapi. Insya Allah. Tidak mengapalah. Pengalaman itu begitu berharga dan boleh dijadikan panduan untuk sesi-sesi lain sekiranya berpeluang lagi.
Usai sesi taklimat, saya telah diundang untuk menghadiri sesi BBQ yang akan disertai oleh tuan TKP yang dahulunya pernah bertugas di bahagian yang sama dengan saya. Untuk itu saya harus menunggu sesi mesyuarat yang diadakan pada petangnya. Waktu senggang yang ada saya gunakan untuk menggantikan tidur saya. Saya bukanlah seorang yang gemar untuk tidur di siang hari namun perjalanan pulang saya masih jauh dan pastinya saya tidak mahu keletihan akibat kekurangan tidur mengganggu perjalanan tersebut. Yang pasti, tidur di siang hari selalunya akan membuat saya lebih lesu.
Sebelum menikmati makan malam yang enak itu, saya gunakan masa yang ada untuk berjalan-jalan menikmati keindahan pemandangan di tepian pantai sambil mendengar deburan ombak memukul pantai yang sungguh menenangkan. Satu ketika dahulu ketika saya masih bertugas di Kuantan, saya sering menghabiskan waktu petang selepas kerja bersama seorang teman berbual-bual sambil menenangkan fikiran di tepi pantai Teluk Chempedak. Sungguh tenang ketika itu. Ah saya sungguh rindukan teman saya itu. Apa khabar agaknya teman saya itu sekarang. Setelah dia mendirikan rumah tangga, sudah lama kami tidak bertanya khabar. Pasti dia sudah ada anak kecil sekarang. Oh teman saya itu adalah seorang perempuan ye. Jangan ada yang tersalah sangka pula. Maklumlah selalunya hanya pasangan kekasih sahaja yang gemar memadu asmara di tepian pantai tersebut.
Setelah kantung perut saya penuh diisi dengan makanan yang sungguh enak, saya bertolak pulang ke Putrajaya. Perjalanan pulang adalah begitu lancar. Entah mengapa untuk perjalanan saya kali ini, saya telah memandu dengan begitu berhemah sekali. Saya begitu mematuhi had laju yang dibenarkan dan purata kelajuan pemanduan saya adalah pada kadar 100kmj sahaja. Satu perkembangan yang baik kerana selalunya purata kelajuan pemanduan saya di lebuhraya adalah di sekitar 140-160kmj. Sekiranya saya berjaya mengekalkan prestasi ini, saya pasti tiada lagi saman yang akan dikenakan ke atas saya. Insya Allah.
4 comments:
Penggunaan bahasa yg baik. BM A1. =)
Intan,
Terima kasih. Agak sukar sebenarnya untuk menulis dengan bahasa yang agak formal bunyinya tapi tidak salah untuk kita mencuba, betul tak?
Hehehe....
Eny,
Aku membayangkan kau bercakap dengan amat skema serta lenggok bahasa yang lembut.
Hahahaha.
Syabas!
My BM is okay but compare to yours, it sucks!
:p
Didi,
Hahaha..... Lembut dan sopan sangat bunyinyakan. Dah macam cerita zaman hitam putih dulu pulak. Ayat buku sangat.
Post a Comment