Wednesday, March 09, 2011

Cerita panjang akan hujung minggu yang telah berlalu

Sudah ada yang bertanya lantaran ketiadaan cerita-cerita baru di sini. Bukan saya ketiadaan cerita, malahan banyak yang hendak dikongsi bersama tetapi saya ketiadaan masa. Begitu banyak tugasan yang perlu saya selesaikan sebelum saya boleh bercuti dengan aman bagi menghadiri majlis pernikahan adik lelaki saya pada hujung minggu ini. Pejam celik pejam celik kini sudah pun hari Rabu. Begitu pantas masa berlalu. Begitu banyak perkara yang berlegar-legar dalam benak fikiran ini; tentang kerja dan tentang majlis pernikahan serta majlis menyambut menantu. Mudah-mudah segalanya akan dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.

Hujung minggu yang lalu, saya begitu sibuk ke sana dan ke mari menyelesaikan beberapa perkara yang agak penting. Petang Jumaat selepas pulang dari pejabat saya ke Alamanda. Tujuan utama adalah membeli beberapa keperluan bagi projek membuat biskut bersama teman saya, Puan D. Memandangkan adik saya Siti telah dalam perjalanan ke rumah saya, maka kami berjanji untuk berjumpa di Alamanda sahaja. Sementara menunggu kehadiran beliau, saya gunakan masa yang ada untuk melihat-lihat barangan yang dipamerkan di Cold Storage dan Carrefour. Sungguh saya tidak pernah puas melihat, membelek dan membaca. Begitu banyak yang menarik. Alangkah bagusnya jika saya mempunyai kebolehan memasak seperti mak atau teman-teman yang lain. Pasti ruang dapur saya akan seperti pasaraya; dilengkapi dengan segala macam rempah-ratus, sos dan peralatan memasak. Seperti biasa, tidak lengkap rasanya jika saya tidak membeli barangan dapur walaupun saya belum pasti akan kegunaannya. Nampaknya makin sarat ruangan dapur saya dengan segala macam bahan baru.  

Pagi Sabtu saya telah ke worksyop. Savvy kesayangan itu perlu diselenggara. Apatah lagi bulan ini khidmatnya amatlah diperlukan untuk menempuhi perjalanan yang jauh. Alhamdulillah perkara utama telah diselesaikan. Melayang juga lah ratusan wang tunai lantaran worksyop itu tidak lagi mempunyai khidmat kad kredit. Namun janji saya untuk mencuci Savvy tersayang belum dapat ditunaikan. Tak mengapalah Savvy ku sayang. Yang penting, kesihatan dalamanmu telah terpelihara. Tentang kecantikan luaranmu itu, nanti lah saya usahakan sebelum kita mulakan perjalanan yang jauh ke utara. Saya janji ye!

Selesai urusan di worskyop, saya ke Jusco untuk melihat-lihat. Pastinya aktiviti melihat-lihat itu tidak akan lengkap tanpa sebarang pembelian. Saya telah membeli beberapa peralatan baru untuk menambahkan koleksi peralatan memasak saya. Memandangkan anak saudara saya ada menyuarakan hasrat untuk memiliki set alat tulis yang baru maka saya dengan murah hatinya telah membelikan set yang agak comel untuknya. Saya perlu adil kepada semua, walaupun hanya seorang yang meminta tetapi saya telah membeli 3 set supaya setiap orang akan memiliki set masing-masing. Saya tahu Nabila masih belum boleh menulis tapi tidak salah sekiranya dia diberikan set alat tulis juga. 

Hasrat asal saya membeli untuk setiap orang ialah supaya tiada perbalahan atau perebutan yang akan berlaku namun saya rasa perkara itu akan berlaku juga. Ketiga-tiganya adalah anak gadis comel yang meminati warna merah jambu. Tapi sekiranya mendapat set yang sama, pasti akan berlaku insiden ambil-mengambil sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan. Jadi saya telah membeli set merah jambu, biru dan ungu. Mungkin saya harus membaluti set alat tulis tersebut dan biarkan mereka membuat pilihan tanpa melihat kepada warna. Untuk si kecil Manan, saya telah membeli beberapa permainan yang boleh digunakan semasa perjalanan jauh ke utara nanti. Ah saya begitu merindui anak-anak saudara saya itu. Merindui keletah mereka yang mencuit hati serta butir bicara mereka yang sungguh seperti orang dewasa lagaknya.

Pulang dari Jusco, Siti begitu sibuk di dapur menyediakan juadah makanan tengahari. Saya sekadar membantu. Selesai makan tengahari yang agak lewat itu, saya terus bergerak ke rumah Puan D bersama bakul merah yang dipenuhi dengan bahan-bahan untuk projek petang itu. Oh mudah sahaja rupanya membuat biskut coklat yang sangat enak rasanya itu. Tapi saya tidak pasti sekiranya saya membuat sendiri biskut tersebut kelak, adakah rasanya akan seenak biskut yang dibuat oleh Puan D. Ah teman saya itu begitu berbakat. Sambil tangan kami menggentel bancuhan biskut tersebut, mulut kami tidak henti-henti bercerita.

Walaupun kami di dapur dan sedang membuat aktiviti kewanitaan (iaitu membuat biskut) namun topik perbualan kami adalah berhubung isu-isu kenegaraan dan politik. Sungguh rancak kami berbual. Perbualan begini adalah baik dan penting untuk memastikan percambahan fikiran serta tidaklah minda ini seakan lesu dan lemah sahaja setelah hari-hari dihadapkan dengan tugasan dan isu yang agak membosankan. Terima kasih Puan D. Terima kasih di atas tunjuk ajar membuat biskut yang enak itu. Dan terima kasih juga kerana mempunyai pemikiran yang senada dengan saya. Saya pasti ramai lagi teman-teman lain juga begitu.

Hari Ahad saya sibuk mengemas rumah, membasuh pakaian serta mengemas pakaian yang perlu saya bawa bersama. Perancangan untuk membawa Siti bersama terpaksa dibatalkan di saat akhir memandangkan teman serumahnya ketiadaan kunci. Setelah menghantar Siti ke ERL, saya terus memulakan perjalanan ke Port Dickson. Ada tugasan di sana pada hari Isnin. Pertama kali saya memandu ke selatan tanpa teman. Memandangkan tiada aktiviti mustahak di Port Dickson pada hari tersebut maka saya dan Puan K telah merancang untuk ke rumah teman kami Puan N. Puan N baru berpindah ke rumah baru; sebuah banglo yang indah di kawasan yang indah juga. Saya begitu menyenangi masa yang saya luangkan di sana; bersama Puan K dan anaknya Nazif dan Puan N bersama anaknya Syahmi. Keletah mereka berdua sungguh mencuit hati. Masa seakan mencemburui kami apabila bersama. Begitu banyak perkara yang hendak dibualkan. Entah bila lagi kami dapat bersama bertiga begini. 

Puan N mahu saya makan malam di rumah beliau. Apakan daya untuk saya menolak. Tambahan lagi, bukan selalu saya dapat berjumpa dengan beliau. Usai makan malam, perjalanan diteruskan ke destinasi untuk saya bermalam; Permaisuri Resort di Port Dickson. Memandangkan saya kurang arif akan selok-belok Port Dickson, seorang kakitangan Puan N telah sudi untuk membantu menunjukkan saya arah ke sana. Perjalanan seakan lancar namun saya kehilangan arah setibanya saya di Port Dickson. Syukurlah akhirnya saya ketemu juga dengan Azi. Terima kasih banyak di atas bantuan kamu. 

Begitu banyak yang saya bualkan dengan urus setia sebelum saya masuk ke bilik untuk melelapkan mata. Dan seperti biasa, mata ini tidak dapat lelap ketika di tempat baru. Sepanjang malam saya tidak tidur. Letih.... saya sungguh letih dan risau memikirkan hari esoknya..... 

Bersambung......       

6 comments:

dhiya zafira said...

hmmmm...kenapa tetiba ayat jadi skema je..hahha..mcm baca karangan pulak rasanya bertajuk ' cuti hujung minggu saya..'

Eny Yusof said...

Dhiya,

Hahaha.... saje nak test. Payah ok nak tulis camtu. Nak kena fikir ayat yang sesuai. Yang pasti, 100% BM ok.

Anonymous said...

Cik eny.. saya pening membaca ayat skema.. sila kembali ke ayat gila2 dan merapu anda yerr.. terima kasih.

-cupidz, yg sedikit pening-

didi said...

Hihi. Seronok je dapat teman nak baking2 ni.

Aku mcm nak try buat sausage & mushroom quiche next week. Kalau xde plan apa2 lah. Dah jumpa recipe yang menarik.

Amacam?

:)

Eny Yusof said...

Cupidz,

Ala baru sikit dah pening. Hahaha..... Tapi saya pun tak larat nak tulis macam tu selalu. Skema sangat. So not me you.....

Eny Yusof said...

Didi,

Lepas ni kalau ada nak buat apa-apa hujung minggu, please count me in ye. Insya Allah kalau free boleh la join.